Bismillah... Assalamualaikum wbt kepada semua circles, followers & friends.
Sis sangat rindu dan sangat teruja untuk menceritakan satu kisah yang berlaku malam tadi. Pengajaran buat kami suami isteri.
Sewaktu pergi makan di kedai mamak Taipan Senawang. Sedang sedap menjamah roti
nan cheese bersama suami, ade seorang pak cik datang ke arah kami mahu menjual buku.
Menu malam tadi.
"Adik nak beli buku?" Soal pak cik itu.
Pak cik itu tunjuk kepada kami buku bertajuk 'FALSAFAH
AL-QURAN'. Aku tersentak bila tengok tajuk buku tu. Tersentuh tahap maksimum.
Hati aku 50-50 nak beli. Suami aku gayanya macam nak beli. Kemudian aku
bagi isyarat pada suami aku supaya tidak membelinya. Pak cik tu datang dari
arah belakang aku. Jadi aku tak dapat tengok wajah dia. Aku memang tidak suka
kalau di kedai makan ada orang datang jual-jual macam tu. Macam-macam pak cik
tu cakap. Tapi yang aku paling tersentuh bila pak cik tu cakap,
"Jangan lupa baca quran sebab bila kita baca quran,
kita akan bahagia dunia akhirat dan hidup berkat".
Aku tersentap sekali lagi. Aku menggeleng pada suami. Suami
aku pun bagi tau pak cik tu kami tak nak beli buku dia. Pak cik tu pun pergi ke
meja belakang dengan satu tin air cincau dan duduk. Kemudian dia bangun
kembali. Sedetik kemudian aku memalingkan muka dan tengok pak cik tu. Aku
tersentuh melihat pak cik yang dah basah baju akibat peluh. Dia jalan pelahan.
Aku lihat dia berjalan mahu ke tandas. Kami menahan pak cik itu dan bertanya
macam-macam.
"Pak cik dari mana?" tanya suami ku.
"Dari Kuala Pilah," jawab pak cik tu.
"Oh dari Kuala Pilah," kami serentak jawab.
"Pak cik duduk dengan siapa sekarang?" suami ku
tanya lagi.
"Sekrang tinggal dengan anak dekat Lavender
Height," katanya.
Kami sedikit terkejut apabila pak cik tu kata tinggal di
Lavender Height kerana Lavender Height yang berdekatan dengan rumah kami itu
adalah tempat orang kaya. Kami bertanya lagi,
"Pak cik kerja apa dulu?" aku pula bertanya.
"Dulu pak cik kerja polis," jawabnya.
Kami menganggukkan kepala dan pak cik itu berlalu ke tandas. Setelah
habis makanan aku jamah, aku mencuci tangan di singki sebelah tandas. Pak cik
itu keluar dan mencuci tangan di sinki sebelah ku. Aku bertanya lagi. Tidak
puas hati dan aku ingin tahu secara dalam tentangnya. Kata suamiku pak cik ini
selalu ada di kedai mamak ini.
“Pak cik balik rumah anak naik apa?” soal aku lagi.
“Balik naik teksi,” jawabnya.
Katanya tiap-tiap hari dia naik teksi. Aku terkesima.
Jalannya sudah tidak berapa gagah. Seperti ada penyakit. Pada mulanya aku
ingatkan pak cik ni sakit alzhiemer (penyakit lupa).
“Pak cik jual buku lama pak cik kah?” aku menyoal orang tua
itu.
“Tak, pak cik beli di khemah kat sana,” katanya sambil
mengarahkan tangan kearah GIANT Senawang.
Aku tahu dia beli buku-buku lama di khemah tepi GIANT. Di
situ memang menjual buku-buku lama dengan harga yang sangat murah. Aku kembali
ke meja makan. Aku cerita pada suamiku hal tadi dan menyuruh suamiku membeli
buku tadi. Suami ku pun memanggil pak cik tu dan membeli buku yang tadi pak cik
itu menjual dengan harga RM 10, dia turunkan harga kepada RM 8.
“Pak cik bagi 8 ringgit saja adik, ni buku yang akhir,” kata
pak cik tu.
“Kita mesti baca quran sebab quran akan bantu kita dunia dan
akhirat,” sambung pak cik tu.
Sekali lagi aku tersentap! Jiwa aku rasa seperti di banting-banting
dengan kata-kata pak cik itu. Bagi aku ini adalah teguran dari Allah swt untuk
diri aku dan suami. Memang dalam kehidupan zaman sekarang ini tidak ada orang
yang akan berkata begitu pada kita. Cakap secara terus (direct) bukan seperti
ceramah-ceramah agama, lain bahasanya. Pak cik ini menggunakan bahasa yang
sangat direct dan tidak berbunga-bunga seperti pendakwah selebriti yang biasa
kita dengar di radio dan di kaca televisyen. Satu pengajaran di malam hari. Kami
suami isteri bercadang mahu menghantar pak cik itu pulang ke rumah.
Ringkasan isi buku ini.
Bahagian belakang buku ini.
“Pergilah bang, cakap kat pak cik tu kita nak hantar dia
balik rumah,” kataku pada suami.
Namun dalam hati terdetik ‘kalau kena tipu tak apalah
mungkin kifarah dosa aku’. Suami ku bangun dan menuju ke meja pak cik itu. Dari
jauh aku melihat sahaja sambil mengeringkan bahagian kecil niqob aku yang
sedikit basah. Pak cik itu menganggukkan kepala dan berbual-bual dengan
suamiku. Aku dapat menggagak perbualan mereka. Pak cik itu bersetuju dengan
kami untuk menghantarnya pulang ke rumah. Hanya sikit saja yang aku dengar. Aku
lihat pak cik itu memberi tahu mahu menghabiskan minumannya. Seketika kemudian
aku datang menghampiri mereka.
“Sekejap ya, pak cik nak habiskan air ni,” kata pak cik itu
kepada aku.
Aku lihat pak cik itu melipat surat khabar The Star dan memasukan
ke dalam beg galas warna hitam miliknya yang di letakkan di atas meja. Kemudian kami bangun dan berjalan menuju ke
kereta. Pak cik itu salam pelanggan yang berada di kedai mamak itu. Aku lihat
ada lagi seorang yang membeli buku yang sama. Aku perhatikan tingkah laku pak
cik itu. Dia bersungguh-sungguh mengingatkan orang untuk membaca Al-Quran. Tak
pernah aku alami pengalaman seperti ini. Kami tunggu pak cik itu. Dia berjalan sedikit perlahan. Yalah orang tua.
Yang membuatkan aku terdetik untuk mencadangkan pada suamiku
untuk menghantar pak cik tu adalah kerana terfikir pak cik itu seorang ayah. Sedih pun
ada. Aku tertanya-tanya dalam hati, ‘kenapa anak dia biarkan ayah dia macam
ini?’. Kadang-kadang ada sesetengah orang tua tidak mahu menyusahkan anaknya.
Aku berbaik sangka. Aku lihat di poket seluar pak cik itu ada kunci beserta
tali besi (aku pun tak tahu apa namanya). Aku sangat faham pak cik itu bekas
anggota polis. Seperti kebiasaan polis pakai macam-macam aksesori kegunaan
mereka. Gayanya smart. Pakai baju kemeja dan seluar slacks bertali pinggang.
Sepanjang berjalan ke kereta, pak cik itu tidak behenti
mengucapkan terima kasih dan mendoakan kebahagiaan kami dunia akhirat. Di dalam
kereta kami sambung berbual dengan pak cik itu. Dia menceritakan kisahnya
sewaktu bertugas sebagai polis zaman dahulu. Cerita bagaimana susahnya hidup
zaman jepun.
“Zaman jepun makan ubi saja. Tak ada makanan lain,” katanya.
“Dulu pak cik bertugas melawan komunis. Ramai polis yang
mati kena tembak dengan komunis.”
Kami berasa sangat bertuah dapat mendengar pengalaman dari
orang seperti pak cik itu. Pak cik itu terselamat dari di bunuh oleh komunis.
“Ada tak orang melayu yang masuk komunis?” soalku ingin tahu
lebih dalam.
“Ada tapi sikit saja. Cina ramai masuk komunis,” beritahunya.
“ Oh, sapa tu…? Errr Fatimah Fakeh?” aku meneka.
“Aaa… Syam...Syamsiah Fakeh. Dia tu berasal dari Kuala Pilah
juga,” Pak cik itu membetulkan aku.
“Ha.. Syamsiah Fakeh. Oh! Orang Kuala pilah juga. Macam mana
Syamsiah Fakeh tu boleh masuk komunis?” soalku lagi.
“Tak tahulah macam mana. Dulu dia orang biasa,” kata pak cik
itu seperti ada perkara yang di selindung.
“Pak cik selalu dekat sini kah?” aku bertanya.
“Ya pak cik selalu kat sini, menjual buku tentang Al-Quran
dan CD Al-Quran. Kadang-kadang bagi tazkirah agama,” terang pak cik itu.
Sampai di pintu masuk Lavender Height ada pengawal RELA yang
menjaga ketat. Kata pak cik itu dulu ada rompakan rumah di kawasan itu. Pak cik
itu menunjukan kami jalan ke rumah anaknya yang dia menetap. Dari dalam kereta
aku melihat rumah-rumah banglo yang sangat besar harga jutaan ringgit. Hati terdetik ‘mungkin rumah anak pak cik ni rumah teres biasa’ kerana anaknya
hanya guru sekolah rendah di kawasan kami. Apabila sampai di sebuah banglo dua tingkat
yang besar, pak cik itu suruh berhenti.
“Sini… sini rumahnya,” pak cik itu memberi tahu.
“Yang pagar warna coklat inikah pak cik?” soal ku.
“Ya, yang ini,” beritahunya.
Suami ku memberhentikan kereta dan pak cik itu membuka
pintu. Aku turun membantu pak cik itu. Pak cik itu tidak behenti mendoakan kami.
Aku membantunya membuka pagar rumah. Aku lihat rumah yang besar itu sudah
gelap. Aku perasan ada kereta mewah di garaj. Tak ku sangka anak pak cik itu
adalah orang kaya. Rasa pelik pun ada.
“Siapa nama adik?” soal pak cik itu kepada aku.
“Nama saya Ain.” Aku menjawab dengan tenang.
Sewaktu pak cik itu mahu masuk ke dalam kawasan rumah, aku pun
membuka pintu kereta. Tiba-tiba dia berhenti dari menutup pagar dan bertanya,
“Siapa nama adik?” dia betanya kepada suamiku pula.
“Hisyam,” jawab suamiku.
“Ain dengan Hisyam lain kali datanglah ke rumah pak cik.”
Dia menjemput kami.
“Insyallah pak cik,” kami membalas.
“Terima kasih hantar pak cik balik rumah,” katanya lagi.
Setelah pak cik itu masuk ke dalam, kami pun beredar. Kami
lupa untuk bertanya siapa nama pak cik itu. Di dalam perjalan pulang ke rumah kami, suamiku
memberitahu pencen pak cik itu sebagai polis zaman jepun dan komunis sangat
sikit. Lebih-lebih lagi pak cik itu bertugas bahagian semboyan (operasi besar).
Aku sangat kagum, pak cik itu mempunyai ingatan yang kuat. Mungkin dia banyak
membaca Al-Quran. Salah satu kelebihan rajin membaca Al-Quran adalah kuat
ingatan dan tidak nyanyuk. Sama seperti nenekku yang usia sudah mencecah 90
tahun yang tidak nyanyuk. Nenekku memang hobinya membaca Al-Quran.
Sampai di rumah aku membuka buku tadi, FALSAFAH AL-QURAN. Memang
susah nak jumpa buku bertajuk begini di dunia komersial sekarang. Isi buku ini
sangat bagus. Buku ini mempunyai 5 BAB. Bab pertama tajuknya ‘Al-Quran dan
Masyarakat Diajak Mengikutinya’. Bab kedua, ‘Karekter Al-Quran Mengajak
Berfalsafah’. Bab tiga, ‘Dzat dan Sifat-Sifat Allah’. Bab empat, ‘Keadilan
Allah’ dan bab lima yang terakhir ‘Kesimpulan dan Penutup’. Buku ini cukup
memotivasi jiwa-jiwa yang lemah dari mentaati perintah Allah dan membentuk
pemahaman dari perspektif lain tentang Al-Quran. Juga menunjukan jalan mengenali Allah.
Memang benar-benar ini mesej dari Allah khas untuk kami. Terutama
sekali aku. Dalam dunia yang serba moden, aku sangat sibuk dengan teknologi dan
memikirkan soal duit. Memang aku membaca Al-Quran, tapi sejauh mana Al-Quran
itu berkesan kepada kami suami isteri dan membentuk kehidupan kami.
Yang membuatkan aku sangat tersentuh dengan pak cik itu
adalah
“Dia Seorang Ayah”.
Rasa bagaikan mahu menitis air mata. Tak sempat aku ucapkan ‘Selamat Hari Bapa’
kepada pak cik itu.
Semoga Allah sentiasa menemukan kami dengan pak cik itu selalu. Rasa rindu pun ada walaupun baru sebentar tadi kami berjumpa.
Allahua’lam.
No comments:
Post a Comment