expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>
Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Friday, January 3, 2014

Happy New Year 2014!


Bismillah. Selamat Tahun Baru Masihi kepada viewers. 

Kebiasaan bagi setiap warga Malaysia akan melangkah tahun baru dengan azam yang di perbaharui.
Tidak kurangnya saya. Saya nak kongsi sedikit tips pada you all semua. ^___^

Tahun yang berlalu sudah berlalu. Dan tahun-tahun itu meninggalkan kenangan dan pengalaman dalam hidup kita. Jatuh bangun kita dalam sebuah kehidupan. Mungkin ada viewers yang tidak dapat mencapai impian pada tahun lalu. Dan mungkin ada yang dapat mencapainya. Setiap kali masuk tahun baru saya akan menulis list IMPIAN saya :). Dengan cara ini urusan kita akan lebih tersusun dan kita lebih fokus kepada matlamat yang ingin kita capai.

Sebagai contoh kita mempunyai beberapa matlamat pada tahun 2014, you all tuliskan senarai dari yang kecil hingga yang besar. Tuliskan tajuk dengan huruf besar IMPIAN TAHUN 2014.  Kemudian pada akhir helaian itu tulis "Yang Ingin Menggapai Impian". Saya syorkan agar you all tulis dengan tulisan tangan.

Boleh juga you all bahagikan kepada beberapa bahagian. Contohnya; 

1. Rohani (peningkatan amal soleh / perbaiki iman)
2. Fizikal (diet / kesihatan)
3. Mental (pendidikan / learning / kesihatan mental)
4. Financial (tabungan / saham)

Gambar Di Bawah Contoh Cara Membuat Senarai

(Klik pada gambar untuk Download format list ini )

Selamat Mencuba. Semoga Allah SWT mengkabulkan impian kepada viewers Inspirasi Indah

Apa pun yang bakal anda lalui, laluilah dengan iman dan sabar.

Keh keh keh.....

Akhir kata dari saya.


Saturday, November 2, 2013

Membelek Majalah Fesyen!

Bismillah. Assalamualaikum wbt.

Hai lovely readers!

Saya merindui halaman ini untuk berbicara tentang fesyen dari sudut pemikiran saya.

Sejak kebelakangan ini saya mula sibuk tahap maksimum! Nak tahu kenapa? Saya mulakan kerjaya baru yakni saya menapak kembali secara realiti didalam bidang fesyen yang telah lama saya tinggalkan. Dahulu hampa kerana berasa gagal untuk berada di dalam dunia fesyen. Namun saya mengasah bakat dalam diam di halaman blog Inspirasi Indah ini bersama lovely readers semua. Apalah makna jika saya menulis tanpa pembaca kan?! Sanjungan tinggi dan terima kasih saya kepada anda semua.

My lovely lappy & sweet magazines!

Pada malam gelita dan menenangkan ini jari jemari saya terasa ringan untuk berceloteh mengenai hobi saya dari kecil. Apakah itu?! Haaa.... hobi saya dari sekolah adalah membaca dan mengumpul majalah fesyen dalam dan luar negara. Majalah yang mula-mula saya gemar beli waktu zaman sekolah adalah majalah CLEO. Mesti ramai yang tahu tentang majalah yang penuh dengan tips itu. Dahulu saya gemar mengumpul majalah itu kerana harganya yang mampu milik RM5.50. Pada waktu itu tahun 2003-2004 saya mula mengumpul kerana tertarik dengan sampel-sampel alat solek seperti maskara, lipstik dan kalender fesyen yang di berikan kepada pembaca majalah tersebut. Seronokan? Manakan tidak seronok remaja yang gemar berfesyen dapat sisipan hadiah kecil sebegitu! Sampai sekarang saya masih minat membeli majalah fesyen. Terutama sekali majalah fesyen muslimah seperti HIJABISTA, FESYEN HIJAB, ANIS & pelbagai lagi.

Apa kaitan dengan dengan kerjaya saya sekarang ini?! Tidaklah kerjaya hebat benar. Cuma merangkak-rangkak memasuki bidang fesyen secara mutlak tetapi dengan perlahan dan tersendiri. Saya tidaklah glamour. Suka suka untuk berceloteh mengenai kerjaya saya. Kerjaya mutllak dan hakiki adalah suri rumah. Namun di sebalik menguruskan rumahtangga, saya memulakan bisnes kecil iaitu Design & menjahit pukal. Masih lagi awal dalam lapangan ini. Tapi impian dan cita-cita sudah lama saya sematkan. Sekian lama mencari jalan untuk memulakan, Alhamdulillah akhirnya Allah swt bawa saya kedalam dunia fesyen muslimah juga. Walaupun kecil namun semangat saya tidak pernah luntur! Doakan kejayaan saya ya my lovely readers.

Kini sudah mula membelek kembali majalah fesyen. Kali ini majalah fesyen muslimah yang saya borong untuk mendapatkan maklumat terkini tentang fesyen muslimah. Haaa... seronok tak? Ini baru setapak. Masih ada lagi hajat saya dalam bidang fesyen, iaitu menjadi penulis khas untuk fesyen muslimah dan menjadi pakar pembuatan pakaian. Allah swt sahaja yang tahu isi hati saya dan lovely readers semua.

Hobi yang tidak saya sedari. Dari kecil, semenjak sekolah rendah saya gemar melukis pelbagai jenis pakaian beserta kasutnya sekali dan saya warnakan. Hinggakan tingkatan 3 di sekolah menengah, saya masih lagi melukis pakaian seperti Fashion Designer lakukan. Cuma lukisan itu  tidak secantik Designer. Kemudian selepas PMR saya ingin ke sekolah teknik yang menawarkan Kelas Pembuatan Pakaian, namun tidak di persetujui oleh kakak saya. Saya meneruskan persekolahan di tingkatan 4 dalam aliran Sains IT. Walaupun di dalam kelas Sains IT, saya gemar berfesyen dan mengumpul majalah fesyen. 

Lalalala... design saya!  Ini takdir saya!

Telah menjadi takdir! Apabila keputusan SPM keluar, keputusan SPM saya sederhana tetapi subjek sains tidak berapa menggalakkan untuk melayakkan saya masuk ke bidang Sains di IPT. Oleh kerana itu kakak saya memilih untuk menghantar saya ke bidang Rekaan Fesyen & Pakaian. Akhirnya bidang ini juga yang saya ambil. Di dalam pengajian saya sederhana dan tidak menonjol dalam course saya. Saya selalu menyepi kerana waktu tingkatan 4 & 5 saya fikir mahu menjadi Engineer atau Architect. Maka pada semester 1 saya berasa sangat sedih. Hinggakan untuk menyiapkan tugasan yang pertama membuat pola asas saya menagis. Saya tidak dapat menerima hakikat ini. Lebih-lebih lagi saya tidak dapat sesuaikan diri dengan rakan sekelas. Dalam masa pengajian saya ini, saya menganggap saya telah gagal dan tidak bersesuaian dengan course ini. Pengalaman yang agak pahit. Seterusnya hingga ke alam pekerjaan. Dan akhirnya menjadi suri rumah baru saya ada masa untuk berfikir tentang hal ini. Terasa lapang dan ada ruang untuk berfikir. Namun ada juga dugaan untuk melalui langkah pertama saya. Dunia fesyen memang mencabar, walaupun sekadar bisnes di rumah. Allah swt sahaja yang mengerti isi hati saya.... Apa yang tersirat dan tidak dapat di luahkan.

Membelek-belek majalah fesyen muslimah! Nak tahu apa yang saya lakukan? Saya mencari-cari idea untuk mengeluarkan koleksi pakaian sendiri dan mengkaji apa yang muslimah perlukan. Haaa.... idea...idea... mari-mari datang idea.... 

Koleksi terbaru!
Daaaa... selamat malam... my lovely readers... 
May Allah swt bless your life. Love you very much!

Wednesday, June 12, 2013

HAI SI ANGGUN CERITA CERMIN DIRI

Bismillah... Assalamualaikum WBT..
Hai circles, followers, & friends. Apa khabar?? 
Hari ni Sis Ain Melur nak share topik best ini.
Jom Muhasabah!!

Dua Jenis Cermin Diri


Dua orang ahli bomba masuk ke dalam hutan untuk memadamkan satu kebakaran kecil. Sesudah selesai, mereka berdua lantas menuju ke arah sebuah sungai.

Wajah salah seorangnya telah dilumuri abu hitam; sebaliknya wajah seorang lagi adalah bersih sama sekali tanpa sebarang noda.

Soalan: Ahli bomba manakah yang akan membasuh muka?

Mengapa Cermin Dicipta?


Sebab utama cermin dicipta adalah untuk melihat kalau-kalau ada yang tidak kena pada penampilan diri. Adakah rambut kita tersisir rapi? Adakah tudung yang dipakai itu senget? Adakah jambang yang dicukur itu kemas lagi licin? Adakah celak dan gincu yang ditempek itu herot? Atau masih adakah saki-baki air liur basi yang terlekat di pipi?


Dengan kata lain, kita melihat cermin untuk memastikan kesempurnaan fizikal diri. Kata kunci di sini ialah "memastikan kesempurnaan". Ini bermaksud, melihat cermin dengan tujuan untuk "syok sendiri akan kesempurnaan" diri adalah sangat terpesong daripada tujuan asal mengapa cermin dicipta.

Berbalik kepada soalan di awal-awal tadi, siapakah yang akan membasuh muka? Yang berwajah kotor atau pun yang berwajah bersih? Jawapan yang betul adalah si ahli bomba yang berwajah bersih. Mungkin jawapan ini agak mengelirukan. Mengapa pula yang si berwajah kotor tidak membasuh mukanya?

Begini: Apabila yang berwajah kotor itu melihat rakannya yang berwajah bersih, maka dia pun berpendapat bahawa wajahnya pasti lah bersih seperti rakannya. Namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada yang berwajah bersih. Apabila dia melihat kekotoran pada wajah rakannya itu, maka dia pun berkata kepada diri sendiri: "Muka aku pun mesti kotor juga macam dia. Baik aku basuh." 


Cermin yang betul dan Cermin yang salah?

Cermin yang betul, apabila memandangnya, kita mampu menginsafi akan kelemahan diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah bersih melihat wajah kawannya yang kotor itu.

Jika kita ada seorang kawan yang baik sifatnya, maka mereka adalah cermin untuk menilai apa yang masih kurang pada diri. Jika kawan itu kurang baik pula sifatnya, ia tetap boleh menjadi cermin bagi mengingatkan adakah kita juga begitu sebenarnya?

Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu muhasabah diri.

Cermin yang salah pula, apabila memandangnya, kita semakin berbangga akan kesempurnaan palsu pada diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah kotor melihat wajah kawannya yang bersih itu.

Dalam kes ini, kawan di sekeliling dijadikan cermin untuk melihat betapa sempurnanya diri kita jika dibandingkan dengan mereka. Pada akhirnya, cermin yang salah ini dijadikan justifikasi untuk kita kekal di takuk lama. Kata kita kepada diri sendiri, "Aku ni kira baguslah. Kalau nak dibandingkan dengan si polan yang duduk seberang jalan, lagi macam setan dia tu!"


Nabi SAW bersabda:' Seseorang itu akan ikut siapa yang dia berkawan. Jika kamu berkawan dengan tukang jual minyak wangi dan kamu tidak mampu membeli minyak wangi itu tetapi setidak-tidaknya bau harum minyak wangi akan kena juga pada pakaian kamu DAN jika kamu berkawan dengan tukang ketuk besi, biarpun percikkan api daripada ketukan tidak kena pada kamu tetapi bau asap api akan kena juga pada pakaian kamu.

Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu syok sendiri akan kesempurnaan diri.

Jadi siapakah kita antaranya?


Sumber : Halaqah.net

Tuesday, June 11, 2013

PAK CIK DAN BUKU FALSAFAH AL-QURAN

Bismillah... Assalamualaikum wbt kepada semua circles, followers & friends.
Sis sangat rindu dan sangat teruja untuk menceritakan satu kisah yang berlaku malam tadi. Pengajaran buat kami suami isteri.

Inilah bukunya.

Sewaktu pergi makan di kedai mamak  Taipan Senawang. Sedang sedap menjamah roti nan cheese bersama suami, ade seorang pak cik datang ke arah kami mahu menjual buku.


Menu malam tadi.

"Adik nak beli buku?" Soal pak cik itu.

Pak cik itu tunjuk kepada kami buku bertajuk 'FALSAFAH AL-QURAN'. Aku tersentak bila tengok tajuk buku tu. Tersentuh tahap maksimum. Hati aku 50-50 nak beli. Suami aku gayanya macam nak beli. Kemudian aku bagi isyarat pada suami aku supaya tidak membelinya. Pak cik tu datang dari arah belakang aku. Jadi aku tak dapat tengok wajah dia. Aku memang tidak suka kalau di kedai makan ada orang datang jual-jual macam tu. Macam-macam pak cik tu cakap. Tapi yang aku paling tersentuh bila pak cik tu cakap,

"Jangan lupa baca quran sebab bila kita baca quran, kita akan bahagia dunia akhirat dan hidup berkat".

Aku tersentap sekali lagi. Aku menggeleng pada suami. Suami aku pun bagi tau pak cik tu kami tak nak beli buku dia. Pak cik tu pun pergi ke meja belakang dengan satu tin air cincau dan duduk. Kemudian dia bangun kembali. Sedetik kemudian aku memalingkan muka dan tengok pak cik tu. Aku tersentuh melihat pak cik yang dah basah baju akibat peluh. Dia jalan pelahan. Aku lihat dia berjalan mahu ke tandas. Kami menahan pak cik itu dan bertanya macam-macam.

"Pak cik dari mana?" tanya suami ku.

"Dari Kuala Pilah," jawab pak cik tu.

"Oh dari Kuala Pilah," kami serentak jawab.

"Pak cik duduk dengan siapa sekarang?" suami ku tanya lagi.

"Sekrang tinggal dengan anak dekat Lavender Height," katanya.

Kami sedikit terkejut apabila pak cik tu kata tinggal di Lavender Height kerana Lavender Height yang berdekatan dengan rumah kami itu adalah tempat orang kaya. Kami bertanya lagi,

"Pak cik kerja apa dulu?" aku pula bertanya.

"Dulu pak cik kerja polis," jawabnya.

Kami menganggukkan kepala dan pak cik itu berlalu ke tandas. Setelah habis makanan aku jamah, aku mencuci tangan di singki sebelah tandas. Pak cik itu keluar dan mencuci tangan di sinki sebelah ku. Aku bertanya lagi. Tidak puas hati dan aku ingin tahu secara dalam tentangnya. Kata suamiku pak cik ini selalu ada di kedai mamak ini.

“Pak cik balik rumah anak naik apa?” soal aku lagi.

“Balik naik teksi,” jawabnya.

Katanya tiap-tiap hari dia naik teksi. Aku terkesima. Jalannya sudah tidak berapa gagah. Seperti ada penyakit. Pada mulanya aku ingatkan pak cik ni sakit alzhiemer (penyakit lupa).


Sebahagian dari isi buku ini.

“Pak cik jual buku lama pak cik kah?” aku menyoal orang tua itu.

“Tak, pak cik beli di khemah kat sana,” katanya sambil mengarahkan tangan kearah GIANT Senawang.

Aku tahu dia beli buku-buku lama di khemah tepi GIANT. Di situ memang menjual buku-buku lama dengan harga yang sangat murah. Aku kembali ke meja makan. Aku cerita pada suamiku hal tadi dan menyuruh suamiku membeli buku tadi. Suami ku pun memanggil pak cik tu dan membeli buku yang tadi pak cik itu menjual dengan harga RM 10, dia turunkan harga kepada RM 8.

“Pak cik bagi 8 ringgit saja adik, ni buku yang akhir,” kata pak cik tu.

“Kita mesti baca quran sebab quran akan bantu kita dunia dan akhirat,” sambung pak cik tu.

Sekali lagi aku tersentap! Jiwa aku rasa seperti di banting-banting dengan kata-kata pak cik itu. Bagi aku ini adalah teguran dari Allah swt untuk diri aku dan suami. Memang dalam kehidupan zaman sekarang ini tidak ada orang yang akan berkata begitu pada kita. Cakap secara terus (direct) bukan seperti ceramah-ceramah agama, lain bahasanya. Pak cik ini menggunakan bahasa yang sangat direct dan tidak berbunga-bunga seperti pendakwah selebriti yang biasa kita dengar di radio dan di kaca televisyen. Satu pengajaran di malam hari. Kami suami isteri bercadang mahu menghantar pak cik itu pulang ke rumah.

Ringkasan isi buku ini.

Bahagian belakang buku ini.

Kata suami ku, “Mana ada teksi malam-malam macam ni.”

“Pergilah bang, cakap kat pak cik tu kita nak hantar dia balik rumah,” kataku pada suami.

Namun dalam hati terdetik ‘kalau kena tipu tak apalah mungkin kifarah dosa aku’. Suami ku bangun dan menuju ke meja pak cik itu. Dari jauh aku melihat sahaja sambil mengeringkan bahagian kecil niqob aku yang sedikit basah. Pak cik itu menganggukkan kepala dan berbual-bual dengan suamiku. Aku dapat menggagak perbualan mereka. Pak cik itu bersetuju dengan kami untuk menghantarnya pulang ke rumah. Hanya sikit saja yang aku dengar. Aku lihat pak cik itu memberi tahu mahu menghabiskan minumannya. Seketika kemudian aku datang menghampiri mereka.

“Sekejap ya, pak cik nak habiskan air ni,” kata pak cik itu kepada aku.

Aku lihat pak cik itu melipat surat khabar The Star dan memasukan ke dalam beg galas warna hitam miliknya yang di letakkan di atas meja.  Kemudian kami bangun dan berjalan menuju ke kereta. Pak cik itu salam pelanggan yang berada di kedai mamak itu. Aku lihat ada lagi seorang yang membeli buku yang sama. Aku perhatikan tingkah laku pak cik itu. Dia bersungguh-sungguh mengingatkan orang untuk membaca Al-Quran. Tak pernah aku alami pengalaman seperti ini. Kami tunggu pak cik itu. Dia  berjalan sedikit perlahan. Yalah orang tua.

Yang membuatkan aku terdetik untuk mencadangkan pada suamiku untuk menghantar pak cik tu adalah kerana terfikir pak cik itu seorang ayah. Sedih pun ada. Aku tertanya-tanya dalam hati, ‘kenapa anak dia biarkan ayah dia macam ini?’. Kadang-kadang ada sesetengah orang tua tidak mahu menyusahkan anaknya. Aku berbaik sangka. Aku lihat di poket seluar pak cik itu ada kunci beserta tali besi (aku pun tak tahu apa namanya). Aku sangat faham pak cik itu bekas anggota polis. Seperti kebiasaan polis pakai macam-macam aksesori kegunaan mereka. Gayanya smart. Pakai baju kemeja dan seluar slacks bertali pinggang.

Sepanjang berjalan ke kereta, pak cik itu tidak behenti mengucapkan terima kasih dan mendoakan kebahagiaan kami dunia akhirat. Di dalam kereta kami sambung berbual dengan pak cik itu. Dia menceritakan kisahnya sewaktu bertugas sebagai polis zaman dahulu. Cerita bagaimana susahnya hidup zaman jepun.

“Zaman jepun makan ubi saja. Tak ada makanan lain,” katanya.

“Dulu pak cik bertugas melawan komunis. Ramai polis yang mati kena tembak dengan komunis.”

Kami berasa sangat bertuah dapat mendengar pengalaman dari orang seperti pak cik itu. Pak cik itu terselamat dari di bunuh oleh komunis.

“Ada tak orang melayu yang masuk komunis?” soalku ingin tahu lebih dalam.

“Ada tapi sikit saja. Cina ramai masuk komunis,” beritahunya.

“ Oh, sapa tu…? Errr Fatimah Fakeh?” aku meneka.

“Aaa… Syam...Syamsiah Fakeh. Dia tu berasal dari Kuala Pilah juga,” Pak cik itu membetulkan aku.

“Ha.. Syamsiah Fakeh. Oh! Orang Kuala pilah juga. Macam mana Syamsiah Fakeh tu boleh masuk komunis?” soalku lagi.

“Tak tahulah macam mana. Dulu dia orang biasa,” kata pak cik itu seperti ada perkara yang di selindung.

“Pak cik selalu dekat sini kah?” aku bertanya.

“Ya pak cik selalu kat sini, menjual buku tentang Al-Quran dan CD Al-Quran. Kadang-kadang bagi tazkirah agama,” terang pak cik itu.

Isi buku yang sangat menyedarkan jiwa.

Sampai di pintu masuk Lavender Height ada pengawal RELA yang menjaga ketat. Kata pak cik itu dulu ada rompakan rumah di kawasan itu. Pak cik itu menunjukan kami jalan ke rumah anaknya yang dia menetap. Dari dalam kereta aku melihat rumah-rumah banglo yang sangat besar harga jutaan ringgit. Hati terdetik ‘mungkin rumah anak pak cik ni rumah teres biasa’ kerana anaknya hanya guru sekolah rendah di kawasan kami.  Apabila sampai di sebuah banglo dua tingkat yang besar, pak cik itu suruh berhenti.

“Sini… sini rumahnya,” pak cik itu memberi tahu.

“Yang pagar warna coklat inikah pak cik?” soal ku.

“Ya, yang ini,” beritahunya.

Suami ku memberhentikan kereta dan pak cik itu membuka pintu. Aku turun membantu pak cik itu. Pak cik itu tidak behenti mendoakan kami. Aku membantunya membuka pagar rumah. Aku lihat rumah yang besar itu sudah gelap. Aku perasan ada kereta mewah di garaj. Tak ku sangka anak pak cik itu adalah orang kaya. Rasa pelik pun ada.

“Siapa nama adik?” soal pak cik itu kepada aku.

“Nama saya Ain.” Aku menjawab dengan tenang.

Sewaktu pak cik itu mahu masuk ke dalam kawasan rumah, aku pun membuka pintu kereta. Tiba-tiba dia berhenti dari menutup pagar dan bertanya,

“Siapa nama adik?” dia betanya kepada suamiku pula.

“Hisyam,” jawab suamiku.

“Ain dengan Hisyam lain kali datanglah ke rumah pak cik.” Dia menjemput kami.

“Insyallah pak cik,” kami membalas.

“Terima kasih hantar pak cik balik rumah,” katanya lagi.

Setelah pak cik itu masuk ke dalam, kami pun beredar. Kami lupa untuk bertanya siapa nama pak cik itu. Di dalam perjalan pulang ke rumah kami, suamiku memberitahu pencen pak cik itu sebagai polis zaman jepun dan komunis sangat sikit. Lebih-lebih lagi pak cik itu bertugas bahagian semboyan (operasi besar). Aku sangat kagum, pak cik itu mempunyai ingatan yang kuat. Mungkin dia banyak membaca Al-Quran. Salah satu kelebihan rajin membaca Al-Quran adalah kuat ingatan dan tidak nyanyuk. Sama seperti nenekku yang usia sudah mencecah 90 tahun yang tidak nyanyuk. Nenekku memang hobinya membaca Al-Quran.

Sampai di rumah aku membuka buku tadi, FALSAFAH AL-QURAN. Memang susah nak jumpa buku bertajuk begini di dunia komersial sekarang. Isi buku ini sangat bagus. Buku ini mempunyai 5 BAB. Bab pertama tajuknya ‘Al-Quran dan Masyarakat Diajak Mengikutinya’. Bab kedua, ‘Karekter Al-Quran Mengajak Berfalsafah’. Bab tiga, ‘Dzat dan Sifat-Sifat Allah’. Bab empat, ‘Keadilan Allah’ dan bab lima yang terakhir ‘Kesimpulan dan Penutup’. Buku ini cukup memotivasi jiwa-jiwa yang lemah dari mentaati perintah Allah dan membentuk pemahaman dari perspektif lain tentang Al-Quran. Juga menunjukan jalan mengenali Allah.

Salah satu bab dalam buku ini.

Memang benar-benar ini mesej dari Allah khas untuk kami. Terutama sekali aku. Dalam dunia yang serba moden, aku sangat sibuk dengan teknologi dan memikirkan soal duit. Memang aku membaca Al-Quran, tapi sejauh mana Al-Quran itu berkesan kepada kami suami isteri dan membentuk kehidupan kami.

Al-Quran makna HADIAH PERKAHWINAN dari suamiku.

Yang membuatkan aku sangat tersentuh dengan pak cik itu adalah 
“Dia Seorang Ayah”.

Rasa bagaikan mahu menitis air mata.  Tak sempat aku ucapkan ‘Selamat Hari Bapa’ kepada pak cik itu.
Semoga Allah sentiasa menemukan kami dengan pak cik itu selalu. Rasa rindu pun ada walaupun baru sebentar tadi kami berjumpa.

Allahua’lam.