expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, June 11, 2013

PAK CIK DAN BUKU FALSAFAH AL-QURAN

Bismillah... Assalamualaikum wbt kepada semua circles, followers & friends.
Sis sangat rindu dan sangat teruja untuk menceritakan satu kisah yang berlaku malam tadi. Pengajaran buat kami suami isteri.

Inilah bukunya.

Sewaktu pergi makan di kedai mamak  Taipan Senawang. Sedang sedap menjamah roti nan cheese bersama suami, ade seorang pak cik datang ke arah kami mahu menjual buku.


Menu malam tadi.

"Adik nak beli buku?" Soal pak cik itu.

Pak cik itu tunjuk kepada kami buku bertajuk 'FALSAFAH AL-QURAN'. Aku tersentak bila tengok tajuk buku tu. Tersentuh tahap maksimum. Hati aku 50-50 nak beli. Suami aku gayanya macam nak beli. Kemudian aku bagi isyarat pada suami aku supaya tidak membelinya. Pak cik tu datang dari arah belakang aku. Jadi aku tak dapat tengok wajah dia. Aku memang tidak suka kalau di kedai makan ada orang datang jual-jual macam tu. Macam-macam pak cik tu cakap. Tapi yang aku paling tersentuh bila pak cik tu cakap,

"Jangan lupa baca quran sebab bila kita baca quran, kita akan bahagia dunia akhirat dan hidup berkat".

Aku tersentap sekali lagi. Aku menggeleng pada suami. Suami aku pun bagi tau pak cik tu kami tak nak beli buku dia. Pak cik tu pun pergi ke meja belakang dengan satu tin air cincau dan duduk. Kemudian dia bangun kembali. Sedetik kemudian aku memalingkan muka dan tengok pak cik tu. Aku tersentuh melihat pak cik yang dah basah baju akibat peluh. Dia jalan pelahan. Aku lihat dia berjalan mahu ke tandas. Kami menahan pak cik itu dan bertanya macam-macam.

"Pak cik dari mana?" tanya suami ku.

"Dari Kuala Pilah," jawab pak cik tu.

"Oh dari Kuala Pilah," kami serentak jawab.

"Pak cik duduk dengan siapa sekarang?" suami ku tanya lagi.

"Sekrang tinggal dengan anak dekat Lavender Height," katanya.

Kami sedikit terkejut apabila pak cik tu kata tinggal di Lavender Height kerana Lavender Height yang berdekatan dengan rumah kami itu adalah tempat orang kaya. Kami bertanya lagi,

"Pak cik kerja apa dulu?" aku pula bertanya.

"Dulu pak cik kerja polis," jawabnya.

Kami menganggukkan kepala dan pak cik itu berlalu ke tandas. Setelah habis makanan aku jamah, aku mencuci tangan di singki sebelah tandas. Pak cik itu keluar dan mencuci tangan di sinki sebelah ku. Aku bertanya lagi. Tidak puas hati dan aku ingin tahu secara dalam tentangnya. Kata suamiku pak cik ini selalu ada di kedai mamak ini.

“Pak cik balik rumah anak naik apa?” soal aku lagi.

“Balik naik teksi,” jawabnya.

Katanya tiap-tiap hari dia naik teksi. Aku terkesima. Jalannya sudah tidak berapa gagah. Seperti ada penyakit. Pada mulanya aku ingatkan pak cik ni sakit alzhiemer (penyakit lupa).


Sebahagian dari isi buku ini.

“Pak cik jual buku lama pak cik kah?” aku menyoal orang tua itu.

“Tak, pak cik beli di khemah kat sana,” katanya sambil mengarahkan tangan kearah GIANT Senawang.

Aku tahu dia beli buku-buku lama di khemah tepi GIANT. Di situ memang menjual buku-buku lama dengan harga yang sangat murah. Aku kembali ke meja makan. Aku cerita pada suamiku hal tadi dan menyuruh suamiku membeli buku tadi. Suami ku pun memanggil pak cik tu dan membeli buku yang tadi pak cik itu menjual dengan harga RM 10, dia turunkan harga kepada RM 8.

“Pak cik bagi 8 ringgit saja adik, ni buku yang akhir,” kata pak cik tu.

“Kita mesti baca quran sebab quran akan bantu kita dunia dan akhirat,” sambung pak cik tu.

Sekali lagi aku tersentap! Jiwa aku rasa seperti di banting-banting dengan kata-kata pak cik itu. Bagi aku ini adalah teguran dari Allah swt untuk diri aku dan suami. Memang dalam kehidupan zaman sekarang ini tidak ada orang yang akan berkata begitu pada kita. Cakap secara terus (direct) bukan seperti ceramah-ceramah agama, lain bahasanya. Pak cik ini menggunakan bahasa yang sangat direct dan tidak berbunga-bunga seperti pendakwah selebriti yang biasa kita dengar di radio dan di kaca televisyen. Satu pengajaran di malam hari. Kami suami isteri bercadang mahu menghantar pak cik itu pulang ke rumah.

Ringkasan isi buku ini.

Bahagian belakang buku ini.

Kata suami ku, “Mana ada teksi malam-malam macam ni.”

“Pergilah bang, cakap kat pak cik tu kita nak hantar dia balik rumah,” kataku pada suami.

Namun dalam hati terdetik ‘kalau kena tipu tak apalah mungkin kifarah dosa aku’. Suami ku bangun dan menuju ke meja pak cik itu. Dari jauh aku melihat sahaja sambil mengeringkan bahagian kecil niqob aku yang sedikit basah. Pak cik itu menganggukkan kepala dan berbual-bual dengan suamiku. Aku dapat menggagak perbualan mereka. Pak cik itu bersetuju dengan kami untuk menghantarnya pulang ke rumah. Hanya sikit saja yang aku dengar. Aku lihat pak cik itu memberi tahu mahu menghabiskan minumannya. Seketika kemudian aku datang menghampiri mereka.

“Sekejap ya, pak cik nak habiskan air ni,” kata pak cik itu kepada aku.

Aku lihat pak cik itu melipat surat khabar The Star dan memasukan ke dalam beg galas warna hitam miliknya yang di letakkan di atas meja.  Kemudian kami bangun dan berjalan menuju ke kereta. Pak cik itu salam pelanggan yang berada di kedai mamak itu. Aku lihat ada lagi seorang yang membeli buku yang sama. Aku perhatikan tingkah laku pak cik itu. Dia bersungguh-sungguh mengingatkan orang untuk membaca Al-Quran. Tak pernah aku alami pengalaman seperti ini. Kami tunggu pak cik itu. Dia  berjalan sedikit perlahan. Yalah orang tua.

Yang membuatkan aku terdetik untuk mencadangkan pada suamiku untuk menghantar pak cik tu adalah kerana terfikir pak cik itu seorang ayah. Sedih pun ada. Aku tertanya-tanya dalam hati, ‘kenapa anak dia biarkan ayah dia macam ini?’. Kadang-kadang ada sesetengah orang tua tidak mahu menyusahkan anaknya. Aku berbaik sangka. Aku lihat di poket seluar pak cik itu ada kunci beserta tali besi (aku pun tak tahu apa namanya). Aku sangat faham pak cik itu bekas anggota polis. Seperti kebiasaan polis pakai macam-macam aksesori kegunaan mereka. Gayanya smart. Pakai baju kemeja dan seluar slacks bertali pinggang.

Sepanjang berjalan ke kereta, pak cik itu tidak behenti mengucapkan terima kasih dan mendoakan kebahagiaan kami dunia akhirat. Di dalam kereta kami sambung berbual dengan pak cik itu. Dia menceritakan kisahnya sewaktu bertugas sebagai polis zaman dahulu. Cerita bagaimana susahnya hidup zaman jepun.

“Zaman jepun makan ubi saja. Tak ada makanan lain,” katanya.

“Dulu pak cik bertugas melawan komunis. Ramai polis yang mati kena tembak dengan komunis.”

Kami berasa sangat bertuah dapat mendengar pengalaman dari orang seperti pak cik itu. Pak cik itu terselamat dari di bunuh oleh komunis.

“Ada tak orang melayu yang masuk komunis?” soalku ingin tahu lebih dalam.

“Ada tapi sikit saja. Cina ramai masuk komunis,” beritahunya.

“ Oh, sapa tu…? Errr Fatimah Fakeh?” aku meneka.

“Aaa… Syam...Syamsiah Fakeh. Dia tu berasal dari Kuala Pilah juga,” Pak cik itu membetulkan aku.

“Ha.. Syamsiah Fakeh. Oh! Orang Kuala pilah juga. Macam mana Syamsiah Fakeh tu boleh masuk komunis?” soalku lagi.

“Tak tahulah macam mana. Dulu dia orang biasa,” kata pak cik itu seperti ada perkara yang di selindung.

“Pak cik selalu dekat sini kah?” aku bertanya.

“Ya pak cik selalu kat sini, menjual buku tentang Al-Quran dan CD Al-Quran. Kadang-kadang bagi tazkirah agama,” terang pak cik itu.

Isi buku yang sangat menyedarkan jiwa.

Sampai di pintu masuk Lavender Height ada pengawal RELA yang menjaga ketat. Kata pak cik itu dulu ada rompakan rumah di kawasan itu. Pak cik itu menunjukan kami jalan ke rumah anaknya yang dia menetap. Dari dalam kereta aku melihat rumah-rumah banglo yang sangat besar harga jutaan ringgit. Hati terdetik ‘mungkin rumah anak pak cik ni rumah teres biasa’ kerana anaknya hanya guru sekolah rendah di kawasan kami.  Apabila sampai di sebuah banglo dua tingkat yang besar, pak cik itu suruh berhenti.

“Sini… sini rumahnya,” pak cik itu memberi tahu.

“Yang pagar warna coklat inikah pak cik?” soal ku.

“Ya, yang ini,” beritahunya.

Suami ku memberhentikan kereta dan pak cik itu membuka pintu. Aku turun membantu pak cik itu. Pak cik itu tidak behenti mendoakan kami. Aku membantunya membuka pagar rumah. Aku lihat rumah yang besar itu sudah gelap. Aku perasan ada kereta mewah di garaj. Tak ku sangka anak pak cik itu adalah orang kaya. Rasa pelik pun ada.

“Siapa nama adik?” soal pak cik itu kepada aku.

“Nama saya Ain.” Aku menjawab dengan tenang.

Sewaktu pak cik itu mahu masuk ke dalam kawasan rumah, aku pun membuka pintu kereta. Tiba-tiba dia berhenti dari menutup pagar dan bertanya,

“Siapa nama adik?” dia betanya kepada suamiku pula.

“Hisyam,” jawab suamiku.

“Ain dengan Hisyam lain kali datanglah ke rumah pak cik.” Dia menjemput kami.

“Insyallah pak cik,” kami membalas.

“Terima kasih hantar pak cik balik rumah,” katanya lagi.

Setelah pak cik itu masuk ke dalam, kami pun beredar. Kami lupa untuk bertanya siapa nama pak cik itu. Di dalam perjalan pulang ke rumah kami, suamiku memberitahu pencen pak cik itu sebagai polis zaman jepun dan komunis sangat sikit. Lebih-lebih lagi pak cik itu bertugas bahagian semboyan (operasi besar). Aku sangat kagum, pak cik itu mempunyai ingatan yang kuat. Mungkin dia banyak membaca Al-Quran. Salah satu kelebihan rajin membaca Al-Quran adalah kuat ingatan dan tidak nyanyuk. Sama seperti nenekku yang usia sudah mencecah 90 tahun yang tidak nyanyuk. Nenekku memang hobinya membaca Al-Quran.

Sampai di rumah aku membuka buku tadi, FALSAFAH AL-QURAN. Memang susah nak jumpa buku bertajuk begini di dunia komersial sekarang. Isi buku ini sangat bagus. Buku ini mempunyai 5 BAB. Bab pertama tajuknya ‘Al-Quran dan Masyarakat Diajak Mengikutinya’. Bab kedua, ‘Karekter Al-Quran Mengajak Berfalsafah’. Bab tiga, ‘Dzat dan Sifat-Sifat Allah’. Bab empat, ‘Keadilan Allah’ dan bab lima yang terakhir ‘Kesimpulan dan Penutup’. Buku ini cukup memotivasi jiwa-jiwa yang lemah dari mentaati perintah Allah dan membentuk pemahaman dari perspektif lain tentang Al-Quran. Juga menunjukan jalan mengenali Allah.

Salah satu bab dalam buku ini.

Memang benar-benar ini mesej dari Allah khas untuk kami. Terutama sekali aku. Dalam dunia yang serba moden, aku sangat sibuk dengan teknologi dan memikirkan soal duit. Memang aku membaca Al-Quran, tapi sejauh mana Al-Quran itu berkesan kepada kami suami isteri dan membentuk kehidupan kami.

Al-Quran makna HADIAH PERKAHWINAN dari suamiku.

Yang membuatkan aku sangat tersentuh dengan pak cik itu adalah 
“Dia Seorang Ayah”.

Rasa bagaikan mahu menitis air mata.  Tak sempat aku ucapkan ‘Selamat Hari Bapa’ kepada pak cik itu.
Semoga Allah sentiasa menemukan kami dengan pak cik itu selalu. Rasa rindu pun ada walaupun baru sebentar tadi kami berjumpa.

Allahua’lam.



No comments:

Post a Comment