expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, June 12, 2013

HAI SI ANGGUN CERITA CERMIN DIRI

Bismillah... Assalamualaikum WBT..
Hai circles, followers, & friends. Apa khabar?? 
Hari ni Sis Ain Melur nak share topik best ini.
Jom Muhasabah!!

Dua Jenis Cermin Diri


Dua orang ahli bomba masuk ke dalam hutan untuk memadamkan satu kebakaran kecil. Sesudah selesai, mereka berdua lantas menuju ke arah sebuah sungai.

Wajah salah seorangnya telah dilumuri abu hitam; sebaliknya wajah seorang lagi adalah bersih sama sekali tanpa sebarang noda.

Soalan: Ahli bomba manakah yang akan membasuh muka?

Mengapa Cermin Dicipta?


Sebab utama cermin dicipta adalah untuk melihat kalau-kalau ada yang tidak kena pada penampilan diri. Adakah rambut kita tersisir rapi? Adakah tudung yang dipakai itu senget? Adakah jambang yang dicukur itu kemas lagi licin? Adakah celak dan gincu yang ditempek itu herot? Atau masih adakah saki-baki air liur basi yang terlekat di pipi?


Dengan kata lain, kita melihat cermin untuk memastikan kesempurnaan fizikal diri. Kata kunci di sini ialah "memastikan kesempurnaan". Ini bermaksud, melihat cermin dengan tujuan untuk "syok sendiri akan kesempurnaan" diri adalah sangat terpesong daripada tujuan asal mengapa cermin dicipta.

Berbalik kepada soalan di awal-awal tadi, siapakah yang akan membasuh muka? Yang berwajah kotor atau pun yang berwajah bersih? Jawapan yang betul adalah si ahli bomba yang berwajah bersih. Mungkin jawapan ini agak mengelirukan. Mengapa pula yang si berwajah kotor tidak membasuh mukanya?

Begini: Apabila yang berwajah kotor itu melihat rakannya yang berwajah bersih, maka dia pun berpendapat bahawa wajahnya pasti lah bersih seperti rakannya. Namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada yang berwajah bersih. Apabila dia melihat kekotoran pada wajah rakannya itu, maka dia pun berkata kepada diri sendiri: "Muka aku pun mesti kotor juga macam dia. Baik aku basuh." 


Cermin yang betul dan Cermin yang salah?

Cermin yang betul, apabila memandangnya, kita mampu menginsafi akan kelemahan diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah bersih melihat wajah kawannya yang kotor itu.

Jika kita ada seorang kawan yang baik sifatnya, maka mereka adalah cermin untuk menilai apa yang masih kurang pada diri. Jika kawan itu kurang baik pula sifatnya, ia tetap boleh menjadi cermin bagi mengingatkan adakah kita juga begitu sebenarnya?

Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu muhasabah diri.

Cermin yang salah pula, apabila memandangnya, kita semakin berbangga akan kesempurnaan palsu pada diri. Ia adalah analogi kepada apa yang berlaku apabila ahli bomba berwajah kotor melihat wajah kawannya yang bersih itu.

Dalam kes ini, kawan di sekeliling dijadikan cermin untuk melihat betapa sempurnanya diri kita jika dibandingkan dengan mereka. Pada akhirnya, cermin yang salah ini dijadikan justifikasi untuk kita kekal di takuk lama. Kata kita kepada diri sendiri, "Aku ni kira baguslah. Kalau nak dibandingkan dengan si polan yang duduk seberang jalan, lagi macam setan dia tu!"


Nabi SAW bersabda:' Seseorang itu akan ikut siapa yang dia berkawan. Jika kamu berkawan dengan tukang jual minyak wangi dan kamu tidak mampu membeli minyak wangi itu tetapi setidak-tidaknya bau harum minyak wangi akan kena juga pada pakaian kamu DAN jika kamu berkawan dengan tukang ketuk besi, biarpun percikkan api daripada ketukan tidak kena pada kamu tetapi bau asap api akan kena juga pada pakaian kamu.

Itulah dia cermin yang digunakan oleh mereka yang selalu syok sendiri akan kesempurnaan diri.

Jadi siapakah kita antaranya?


Sumber : Halaqah.net

No comments:

Post a Comment